Friday, September 28, 2007

Pulau Banding Bagai Syurga


JIKA anda inginkan suasana damai, jauh dari hiruk pikuk yang menganggu ketenteraman, Pulau Banding adalah destinasi yang tidak boleh dipinggirkan, khususnya bagi pencinta alam semula jadi.

Pulau Banding yang terletak di utara Perak bersama 20 pulau kecil di Tasik Banding dan menjadi pintu masuk ke Hutan Diraja Belum, satu daripada hutan simpan yang masih kekal terpelihara.

Peluang penulis menjadi penghuni selama dua malam di Pulau Banding dalam program yang dianjurkan Syarikat Emkay memberikan peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan anugerah ciptaan Ilahi.




Bunyi kicauan burung dan nyanyian unggas rimba cukup memberi ketenangan berbanding seharian suntuk di kota yang bingit dengan deruan enjin kenderaan.




Pulau Banding adalah anugerah untuk negara ini dan jika diberi promosi secara agresif, tidak mustahil kawasan ini boleh menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang meminati konsep pelancongan-eko.

Seramai 30 wakil media massa dibawa dari ibu kota dalam perjalanan kira-kira tujuh jam ke Pulau Banding. Kami singgah di Rumah Rehat Gerik yang menjadi lokasi penginapan sepanjang program.

Ekspedisi bermula dengan menaiki bot di Jeti Awam. Penulis bersama rakan wartawan dibawa 'jalan-jalan' di sekitar Pulau Banding kira-kira 40 minit bagi melihat alam semula jadi yang masih kekal dara.

Hari kedua, seawal jam 8 pagi, kami menjelajah Hutan Diraja Belum yang kaya dengan flora dan fauna rimba selain menjanjikan pemandangan yang memukau.

Antara tarikan utama ialah habitat gajah liar, harimau belang dan bunga terbesar dunia iaitu bunga pakma atau lebih popular sebagai Rafflesia.

Destinasi pertama peserta ke Air Terjun Sungai Ruak menaiki bot kira-kira 40 minit. Air terjun itu memang indah kerana belum diteroka. Melihat air yang jernih, kebanyakan peserta tidak menunggu lama untuk berendam dan menyejukkan badan.

Sebelum masuk ke Hutan Diraja Belum, pasukan tentera memeriksa dokumen peribadi kami kerana memerlukan permit masuk ke hutan yang penuh dengan 1001 khazanah alam semula jadi.

Ekspedisi seterusnya menaiki bot ke Kuala Sungai Papan. Sebaik tiba, pemandu pelancong kami, Pak Mokhtar, memberi teropong bagi membolehkan kami melihat kelibat burung di dahan pokok, antaranya enggang.

Kami terkejut dengan penemuan beberapa kesan besar tapak kaki jenut, iaitu kawasan pasir berbukit yang ditarah hidupan liar untuk mendapatkan bekalan garam galian dan mineral semula jadi.

Jenut berlopak, kering atau berair di beberapa lokasi di Hutan Diraja Belum itu menjadi tumpuan pelbagai spesies hidupan liar seperti gajah, rusa, kijang dan seladang.

Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Sungai Kejar yang mengambil masa 50 minit menggunakan bot untuk menikmati makan tengah hari di kawasan perkhemahan.

Dalam perjalanan pulang, hujan lebat seolah-olah sedih apabila kami akan meninggalkan hutan itu. Ketika masing-masing dalam kesejukan, kami terkejut mendengar jeritan Orang Asli di atas rakit yang mahu menumpang bot kami untuk pulang ke kampung mereka.

Kami menghantar Orang Asli ke Kampung Sungai Kejar kerana rakit mereka tidak dapat digunakan disebabkan hujan lebat.

Difahamkan lebih 8,000 Orang Asli menetap di sekitar Hutan Diraja Belum, terdiri daripada suku kaum Semai dan Jahai, yang membina rumah di pulau dan sekitar tasik.

Masa berlalu dirasakan begitu pantas, dalam keseronokan menikmati keindahan hutan yang masih dara itu dan tercari-cari untuk melihat bunga terbesar di dunia, Rafflesia, kami terpaksa meninggalkan tempat itu kerana kesuntukan masa dan cuaca.

Namun, peluang meneroka sebahagian kawasan Hutan Diraja Belum peluang yang sukar dilupakan dan jika dimajukan untuk industri pelacongan, ia bakal menjadi antara kawasan tumpuan pelancong seluruh dunia.





INFO PULAU BANDING



-Kenali Pulau Banding



Pulau Banding terletak di Tasik Temenggor, Gerik, Perak, adalah tasik buatan manusia terbesar berukuran 70 kilometer (km) panjang dan 18,000 hektar lebar.

Ia mempunyai 20 pulau buatan yang pada asalnya puncak bukit dan terletak kira-kira 50 km dari Bandar Grik, 80 km dari Pekan Jeli, 183 km dari Ipoh dan 440 km dari Kuala Lumpur.

Terletak 2,000 meter dari aras laut, mengandungi empat empangan terdiri daripada Empangan Temenggor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh.

Pulau Banding satu-satunya cara untuk masuk ke Hutan Diraja Belum melalui bot.









-Bagaimana ke sana?



Anda perlu ke Hulu Perak sama ada melalui jalan raya (bas dan teksi), kereta api atau udara.

Jika melalui jalan raya, anda perlu menyusur Lebuh Raya Selatan-Utara (jika dari Kuala Lumpur dan Selatan) dan melalui Jalan Raya Timur-Barat jika dari Kelantan atau pekan Baling, Kedah dan Pengkalan Hulu jika dari Utara.

Pengguna kereta api pula destinasi stesen terakhir di Kuala Kangsar dan mengambil teksi atau bas ke Grik dan seterusnya ke Pulau Banding.

Pelancong mempunyai pilihan sama ada untuk memilih mendirikan khemah ketika bermalam di tepi tasik atau menginap di Banding Island Resort (BIR) yang dibina Kumpulan Fima Berhad.

Dalam masa terdekat, Kumpulan Syarikat Emkay akan mengubah suai dan menaik taraf kemudahan BIR dan dijangka beroperasi awal tahun depan.





-10 perkara jangan lepaskan peluang ketika di Pulau Banding.



1) Rafflesia - Pastikan anda menyaksikan dan merakamkan gambar bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia iaitu spesies bunga terbesar didunia.



2) Penempatan Orang Asli - Lebih 8,000 Orang Asli menetap di sekitar Lembah Belum. Ia merangkumi suku kaum Semai dan Jahai, yang membina rumah di pulau dan sekitar tasik yang menambahkan lagi keunikan kawasan berkenaan. Antara kampung penempatan Orang Asli adalah Kampung Pulau Chueh, Chiong, Pulau Tujuh, Terhong, Kampung Tebang dan Kampung Sungai Kejar.



3) Jenut (sira) - Pengunjung berpeluang melihat jenut iaitu kawasan garam nutrien yang sering dikunjungi oleh hidupan liar. Pengunjung boleh melihat kesan tapak kaki dan najis hidupan liar seperti kijang, tapir, gajah, rusa dan seladang.



4) Air terjun - Kedinginan air terjun pasti menggamit pengalaman cukup indah ketika bercuti di tengah hutan.



5) Aktiviti memerhati burung - Walaupun terpaksa menunggu beberapa waktu, pengalaman cukup menakjubkan bila berpeluang menyaksikan kelibat burung di dahan pokok. Antara burung yang kerap kelihatan termasuklah burung enggang.



6) Memancing - Dikelilingi tasik dan sungai, Lembah Belum menjanjikan 'syurga' dan kepuasan buat kaki pancing. Jenis ikan yang terkenal di situ ialah toman, kelah dan talapia.



7) Spesies flora - Terdapat pelbagai spesies flora seperti orkid liar, palma, ara, gaharu, buluh dan rotan.



8) Haiwan liar - Berkhemah di tengah hutan sambil memerhatikan haiwan liar di atas menara peninjau di waktu malam. Jika bertuah mungkin anda berpeluang menyaksikan kelibat harimau belang, badak, rusa, seladang dan beruang.



9) Pokok hutan - Pelbagai pokok perubatan tradisional dan akar kayu tumbuh melata di hutan Lembah Belum. Antara pokok hutan boleh ditemui ialah tongkat ali, kacip fatimah dan jerai besar yang mempunyai penawar mujarab dalam perubatan tradisional.



10) Tasik- Tasik buatan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Grik dengan ketinggian sehingga 2,000 meter dari aras laut mengandungi 20 pulau buatan yang asalnya adalah puncak bukit.

No comments: