
KISAHNYA bermula dengan keghairahan seorang pengembara Scotland sanggup mengelilingi sehingga hampir separuh dunia dari tanah kelahirannya ke Australia demi mengejar impian bergelar jutawan saudagar emas.
Hampa dengan janji palsu di benua itu membawa Louise James Fraser ke Tanah Melayu pada 1890-an. Beliau yang menetap di Tras, Pahang mendengar cerita penduduk kampung kewujudan bijih timah di kawasan pergunungan di sempadan Selangor dan Pahang.
Bertitik-tolak dari situ, bekas akauntan itu membangunkan perlombongan di kaki bukit berkenaan. Fraser menjadi orang tengah dengan membeli bijih timah dari pelombong Melayu dan Cina di sekitar Tras dan Lembah Sempam sebelum mengangkut menggunakan keldai ke Kuala Kubu.
Fraser juga dikatakan merentas laluan denai kuda ke puncak bukit yang dijadikan pusat perdagangan. Penamat kisah saudagar Scottish ini tidak pernah diketahui, beliau hilang tiba-tiba pada awal 1900.
Hanya sedikit fakta diketahui bagi membuktikan kewujudan Fraser.
Bukit ini ditemui semula Biskop Singapura, Ferguson-Davie pada 1917 yang asalnya cuba mencari Fraser. Selepas itu, ia mula popular sebagai pusat peranginan untuk rakyat Inggeris yang sukar pulang ke England akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Tanpa fakta ini mungkin membuatkan ramai yang tidak percaya bukit ini mempunyai sejarah yang panjang. Hakikatnya, Fraser Hill suatu ketika dulu pernah menjadi kawasan perumahan elit warga Inggeris yang tidak tahan dengan iklim tropika Tanah Melayu.
Kesempatan mengunjungi Bukit Fraser atas jemputan Tourism Pahang, baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk melihat sendiri tinggalan penjajah British di pusat peranginan yang pernah dijulang sebagai Little England.
Jalannya masih sama - bengkang-bengkok dan penuh selekoh membuatkan penulis sukar membayangkan kuda dan keldai dengan muatan bijih dikerah melalui laluan ini ke puncak pada ketinggian 1,524 dari paras laut.
Seperti binaan kota Rom silam, perkampungan desa Inggeris dibina pada puncak tujuh bukit di banjaran pergunungan ini. Bangunan pertama didirikan di bandar tanah tinggi ini mengambil nama kubu kecil di bahagian Barat yang dibina Inggeris ketika Perang Dunia Pertama,
`Polygon-Magador’ dan `Ledegham’ (sayang sekali kedua-duanya diruntuhkan untuk pembinaan jalan ke Silverpark Holiday Apartments dan Hollebekke (bangunan bertentangan dengan pusat bandar). Di antaranya, terletak menara jam, mercu tanda Bukit Fraser yang paling banyak diabadikan menerusi fotografi.
Kawasan lombong bijih pertama yang diteroka oleh orang Melayu pertama atas lesen British, Abu Suradi, pada lewat abad ke-19, kini menjadi padang golf sembilan lubang. Padang golf yang masih digunakan sehingga kini adalah pertama dibina di pergunungan di negara ini. Ia juga padang golf kedua di Tanah Melayu selepas Taiping.
Selain menjadi kawasan lapang paling luas di pusat bandar, padang golf yang direka bentuk Frank Hemmant pada 1925 ini dikelilingi pokok pain dan paku pakis. Ada antara pokok pain di sini mencecah usia 90 tahun.
Di sekelilingnya, banglo lama tersergam indah tetapi kebanyakan mengekalkan binaan asal lengkap dengan pendiangan. Rumah Bishop yang dibina atas tanah hadiah British kepada Biskop Ferguson-Davie kini tidak berpenghuni.
Dari rumahnya, Biskop Singapura ini membina denai kuda untuk banglo lain seperti Muar Cottage dan Banglo Kuantan dan ke pusat bandar yang kini dinamakan Denai Bishop.
Setiap denai yang panjangnya antara setengah dan empat kilometer mempunyai sejarah sendiri. Dapat saya bayangkan, isteri pegawai atasan Inggeris meredah denai dengan pedati untuk berlibur di pusat bandar.
Denai Maxwell yang dibuka pada 1919 dibuka buruh yang menetap di Labour’s Pine (sekarang tapak Fraser’s Pine Resort). Pelombong ini merentas laluan itu untuk ke Banglo Whittington (kini Rumah Guthrie) untuk mendengar berita perang menerusi satu-satunya radio milik pelombong kulit putih.
Banglo Kindersley (sekarang Banglo Raub) yang pernah digunakan sebagai tempat perjumpaan penganut Kristian membuktikan komuniti Inggeris yang besar pernah menghuni Bukit Fraser.
Selain itu, denai lain yang ada di sini termasuk Denai Abu Suradi, Denai Rompin, Denai Mager, Denai Pokok Pine dan Denai Hemmant. Memadai dengan hanya berjalan di kaki siar jalan berturap yang ada sekarang, penulis dapat melihat pemandangan indah Lembah Teranum dan Sempam.
Di sini, nasib baik tidak diperlukan untuk melihat siamang (ungka besar), konkang, burung hantu rimba dan babi hutan yang kadangkala melintas di denai ketika mencari makanan.
Mungkin kerana hutannya yang masih terjaga, ia menarik lebih 260 spesies burung yang menghuni belantara gunung ini.
Selain melihat flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain, rombongan kami mencuba aktiviti memanah dan menunggang kuda di “The Paddock”. Sayangnya, kami tidak berkesempatan melihat sukan “woodball”, sukan musim panas yang amat popular di kalangan aristokrat Inggeris.
Kami juga singgah di tasik buatan manusia, Allan's Water dan meninjau burung sehingga ke Air Terjun Jeriau yang terletak enam kilometer dari pusat bandar.
Menghabiskan petang terakhir di sini, saya lebih teruja dengan sejarah dan landskap semula jadi yang melatari Bukit Fraser. Bermula sebagai tapak lombong, kemudian stesen bukit, siapa sangka ia bertukar wajah sebagai pusat peranginan tanah tinggi terulung di negara ini.
Dalam perjalanan pulang, fikiran masih kusut dengan pelbagai teori ke mana Fraser menghilangkan diri. Mungkinkah lari kerana hutang, disorok bunian, atau sesat ketika mencari lubuk emas di hutan belantara Titiwangsa? Tetapi, satu perkara saya perlu akui, nyaman udaranya sudah mampu menggamit saya untuk kembali ke sini.
No comments:
Post a Comment