Friday, September 28, 2007

Rawa Island


LAIN padang, lain belalang. Lain orang, berbeza pula cita rasa. Untuk kebanyakan orang, Genting Highlands, Port Dickson atau Langkawi mungkin menjadi destinasi popular untuk melepaskan tekanan terutama ketika musim cuti sekolah.

Apabila ramai bertumpu ke tempat sama, keseronokan mungkin berkurangan kerana masalah kecil seperti berebut tempat letak kereta, mencari tempat makan atau terpaksa menunggu lama hanya untuk menyewa “google”.

Kepala yang sudah serabut dengan bebanan kerja pejabat juga boleh menjadi semakin pusing. Jika ada bajet lebih, apa kata luaskan pilihan ke destinasi percutian peribadi yang lebih mendamaikan.

Bukan saja lebih tenang, malah ia mungkin menjadi hadiah paling istimewa buat yang tersayang. Pulau peribadi juga sesuai menjadi medan melafazkan ikrar cinta dan memperbaharui ikatan lama untuk pasangan lebih berusia.

Kesempatan menyertai rombongan program Cuti-Cuti Malaysia anjuran Tourism Malaysia dan Libur baru-baru ini, memberi saya kesempatan menjelajah salah satu destinasi percutian peribadi, Pulau Rawa, di tenggara Johor.

Terletak kira-kira 16 kilometer (km) dari Jeti Mersing, ia amat sinonim dengan Rawa Safaris Island Resort, pusat peranginan bertaraf antarabangsa yang semakin popular di rantau ini.

Bagi mereka yang pernah ke Mersing, pulau ini adalah perhentian bot atau feri terakhir sebelum sampai Tioman. Dari jauh, kelihatan pantainya yang luas setanding dengan Pasir Panjang, Tioman atau Pulau Perhentian.

Mengikut pelan asal, kami hanya singgah sebentar di kawasan perairan pulau ini untuk aktiviti snorkel. Ini kerana bot persendirian lain tidak dibenarkan menggunakan jeti yang hanya dikhususkan untuk tetamu pusat peranginan ini.

Untuk merasai sendiri suasana eksklusif pusat peranginan ini, saya menyelinap ke kawasan resort ketika rakan media lain sibuk berendam di bawah terik pancaran matahari.

Pulau ini bersama 12 lagi adik beradiknya berada dalam kawasan taman laut yang boleh dibahagikan kepada dua zon utama. Gugusan pulau pesisir pantai meliputi Hujung, Tengah, Besar, Tinggi, Mentinggi dan Sibu amat popular untuk aktiviti snorkeling.

Zon luar pantai meliputi kawasan sekitar 65km dari Jeti Mersing, terletak tiga lagi pulau bersaiz lebih kecil iaitu Dayang; Lang dan Pinang serta Pemanggil amat popular dengan aktiviti selam skuba dengan jarak penglihatan bawah air kira-kira 30 meter.

Kawasan perairan di sini menjadi tumpuan untuk aktiviti selam skuba dengan pelbagai jenis hidupan laut di celah karangan laut yang masih terpelihara. Keindahan dasar lautnya menggamit kunjungan produksi dokumentari asing untuk menjalankan penggambaran mereka di sini.

Pembangunannya dilaksanakan tanpa mengorbankan keindahan semula jadi pulau ini. Sebahagian besar daripada 70 unit penginapan dibina di celah pokok hutan dicat hijau, menjadikannya seakan bersatu dengan landskap alam.

Beberapa vila yang lebih besar dibina di atas permukaan laut menjadikannya kelihatan seolah-olah terapung terutama ketika matahari terbenam. Vila bersaiz lebih kecil pula dibina di atas bukit bertentangan dengan kawasan pantai.

Menganjur ke tanjung, satu kawasan lapang dikhususkan untuk aktiviti bola tampar pantai. Deretan payung untuk mereka yang ingin menghabiskan masa membaca novel sambil berjemur disediakan di sepanjang pantai.

Seperti perairan pulau lain yang diwartakan sebagai taman laut, aktiviti sukan berenjin diharamkan sama sekali untuk memelihara keindahan terumbu karang di sini. Terlanjur ke sini, jangan lepaskan peluang untuk snorkel atau selam skuba di pulau kecil lain yang berjiran dengan Rawa.

Kena dengan tema Safari, pengunjung boleh melihat pelbagai spesies hidupan liar yang hidup di belantara sekitar kawasan ini. Jika bernasib baik, tetamu berpeluang melihat kelibat burung merak berwarna putih mencari rezeki di sini.

Disebabkan saiznya kecil, pusat peranginan ini bergantung kepada bekalan air bersih yang diambil dari Mersing setiap dua hari sekali. Ia mempunyai dua tangki simpanan untuk memastikan kelicinan operasi pusat peranginan ini.

Penat dengan pelbagai aktiviti air, tetamu boleh menjamu selera dengan menu tempatan dan Barat di Restoran De Rawa. Bagaimanapun, kunjungan anda ke sini hanya boleh dilakukan melalui tempahan saja.

Tempoh Terbaik Untuk Berkunjung

Walaupun pusat peranginan ini dibuka sepanjang tahun, tetamu dinasihatkan ke sini ketika musim tengkujuh iaitu antara akhir November hingga awal Januari. Jika gelombang laut terlalu tinggi, operasi pengusaha bot yang membawa penumpang di sini akan tergendala.

Untuk Ke Sini

Dari Kuala Lumpur

Gunakan Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Air Hitam. Pandu ke arah Kluang dan terus ke Kahang. Dari sana, ikut tanda arah ke Mersing. Anda juga boleh menggunakan laluan keluar dari Senawang dan menghala ke Tanjung Gemuk sebelum memasuki jalan pesisir pantai ke Mersing. Kedua-duanya mengambil masa antara lima hingga enam jam.

Dari Johor Bahru

Perjalanan dua jam menggunakan jalan pantai ke Tanjung Leman atau Mersing. Kedua-duanya adalah jeti untuk ke pulau di perairan Johor.

Rujukan Percutian

www.tourism.gov.my

Tel: 03-26158188/ Faks: 03-26935884

Tourism Infoline: 1-300-88-5050

Emel: enquiries@tourism.gov.my

www.journeymalaysia.com/islandrawasafaris

http://www.travelservices.com.my

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Ia tempat pertama berlaku pemberontakan bangsa Melayu terhadap penjajahan Inggeris, sekali gus menunjukkan tanda awal ke arah masyarakat demokrasi.

Karisma pahlawan Melayu seperti Datuk Maharajalela atau gelaran penuhnya Orang Kaya-Kaya Maharaja Lela, Tan Lela Putera, juga dikenali Pandak Lam, selain Datuk Sagor dan Pandak Endut menjadi legenda dalam lipatan sejarah.

Semangat kepahlawanan dan keberanian mereka menentang Inggeris begitu kuat sehingga membawa kepada pembunuhan Residen Inggeris pertama di Perak, JWW Birch.

Kepentingan sejarahnya bukan hanya daripada cerita lisan orang tua tetapi mekar melalui peninggalan lebih 600 artifak yang dipamerkan di Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Turut dipamerkan untuk tatapan generasi akan datang senjata lama, tembikar, 42 diorama atau replika patung bagi memberi gambaran sejarah perjuangan orang Melayu ketika menentang kuasa penjajah.

Semuanya diatur secara tersusun dalam Terowong Sejarah di kompleks berkenaan sebagai satu 'persembahan semula' antara peristiwa paling bersejarah di Tanah Melayu.

Memorial khas yang dibina dengan bentuk replika 'sundang', salah satu jenis senjata Melayu yang telah digunakan di dalam pembunuhan JWW Birch, turut dibina.

Memasuki Terowong Sejarah bukan sekadar mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman silam tetapi ia pasti menggetarkan perasaan setiap insan yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi.

Diorama pertama menggambarkan sejarah awal penempatan orang Melayu kuno di muara Sungai Selinsing, manakala diorama ke-42 menceritakan pembunuhan Gabenor Duncan Stewart oleh Rosli Dhobi di Sarawak.

Turut berdiri kukuh ialah dua tugu, termasuk tugu peringatan pahlawan Perak dan masjid asal berhampiran tempat Birch.

Galeri Menteri Besar pula menempatkan bahan sejarah berkaitan semua Menteri Besar Perak.

>>INFO

- TERLETAK kira-kira 70 kilometer dari Bandaraya Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak, satu memorial kepada sejarah terbilang Pasir Salak dan rakyat Perak.

- Di sekitar Pasir Salak, bersemadi 10 makam sultan selain makam Puteri Limau Purut dan Megat Terawis.

- Kubur JWW Birch, Sipuntum (orang yang bertanggungjawab membunuh Birch), kubu Datuk Maharajalela, meriam 'Lela Rentaka' yang digunakan dalam pertempuran menentang British turut menjadi bahan sejarah kompleks ini.

- Pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan kebudayaan pada masa tertentu selain menginap di Pasir Salak Resort, chalet dengan seni bina rumah kampung Melayu.

Antara kemudahan disediakan termasuk permainan jet ski, aktiviti berkayak dan berakit, serta persembahan kebudayaan.

Seni urutan tradisional Thai

TERAPI urutan yang bagus membantu menenangkan tubuh dengan mengalihkan kuasa emosi kepada aliran darah, seterusnya melegakan tekanan terutama selepas seharian sibuk bekerja.

Antara terapi urutan paling popular adalah urutan tradisional Thailand yang menggabungkan seni yoga dan teknik akupuntur, memanipulasi kuasa dalaman tubuh dengan memfokuskan titik tumpu dalam posisi yoga bagi memberikan keharmonian dalaman.

Urutan Thailand kini sangat popular berikutan ia dipercayai berkesan dalam membantu merawat pelbagai jenis penyakit dan sudah menjadi amalan rakyat negara gajah putih itu sejak lebih 2,500 tahun lalu.

Thai Odyssey, antara pusat refleksologi yang berkembang maju kini membuka cawangan terbarunya di pusat beli-belah MidValley Megamall. Uniknya, ia terletak di tingkat letak kereta membolehkan pengunjung memanjakan diri selepas sibuk membeli-belah.

Pengunjung akan disambut dengan alunan muzik instrumental sebelum disajikan dengan teh herba untuk menenangkan badan. Bahagian rawatan pula digelapkan menerusi penggunaan bidai buluh dan hanya diterangi deretan lilin yang diatur molek dalam balang kaca.

Menurut Pengurus Perkhidmatan Pelanggannya, Jackie Cheong, hanya ahli terapi terlatih dipilih daripada kalangan warga negara gajah putih itu bagi memberikan pengalaman urutan sebenar Thailand kepada pengunjung.

“Mungkin ramai yang berasa sedikit takut melihatkan cara urutan Thai. Ia kelihatan kasar dan agak menekan tetapi sebenarnya itulah yang melegakan pengunjung.

“Ramai pengunjung menyatakan mereka berpuas hati dengan urutan yang disediakan kerana ahli terapi Thai ini sudah memahami masalah dan kehendak pelanggan tetap kami.

“Oleh kerana lokasi kami di tingkat letak kereta, ada juga anak yang menghantar ibu atau bapa ke sini sementara mereka membeli-belah. Ada juga pelanggan tetap yang datang setiap hari semata-mata untuk mendapatkan urutan Thai,” katanya.

Pelbagai rawatan disediakan bermula pada harga serendah RM43 untuk refleksologi dan RM73 untuk terapi tubuh. Pelanggan juga boleh memilih rawatan kering atau urutan berminyak bergantung kepada kehendak mereka.

Jika tiada masa untuk terapi menyeluruh, anda boleh memilih urutan separuh badan. Dua bilik peribadi disediakan untuk rawatan terapi menyeluruh yang mengambil masa antara 30 minit hingga dua jam, bergantung kepada permintaan pelanggan.

>>INFO

1. Syarikat ini menempa nama sebagai Pusat Refleksologi Terbaik 2006 pada majlis Health & Wellness Spa Awards 2006, anjuran Kementerian Pelancongan.

2. Selain berada di tingkat bawah pusat beli-belah MidValley, ia mempunyai cawangan di Tropicana Golf & Country Resort, JB City Square, JB Tebrau City, 1-Utama (New Wing), MidValley Megamall, Mines Shopping Fair, Jusco Seremban 2, Jusco Cheras Selatan, Centerpoint Bandar Utama dan Jalan Telawi, Bangsar.

Hati-hati Dengan Tapak Sulaiman



BENTUKNYA tampak cantik tetapi mungkin ramai tidak tahu bahaya tapak sulaiman jika populasinya tidak dikawal. Walau pun memiliki peranan penting dalam sistem ekologi, ia boleh membawa kesan buruk kerana “merampas” makanan karangan laut.

Terumbu karang yang mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk mudah mati apabila sumber makanannya disekat. Satu tapak sulaiman sudah cukup untuk membunuh lima kilometer persegi karangan laut setiap tahun.

Haiwan ini mampu bertahan dengan makanan yang sedikit dan mampu mengeluarkan jutaan telur setiap tahun. Justeru, nisbah yang tidak seimbang boleh menyebabkan terumbu karang mengalami kemusnahan.

Menyedari hakikat ini, projek pembersihan tapak sulaiman, Crown Of Thorns Expedition sebagai program utama dalam penganjuran Tioman Mega Dive 2007, di Pulau Tioman, baru-baru ini.

Acara dianjurkan Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) itu disertai kira-kira 50 penyelam tempatan dan antarabangsa. Selain itu, ia mendapat kerjasama pengusaha pusat selam skuba dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Tioman Mega Dive turut mendapat sokongan Persatuan Penyelam PADI dan penerbitan majalah skuba antarabangsa dari Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Denmark, Rusia, Singapura, Hong Kong, Thailand, Kanada, Perancis, Afrika Selatan, Jerman dan Jepun.

Tapak sulaiman yang dikumpulkan akan dilupuskan dengan bantuan Taman Laut. Haiwan itu akan dibelah untuk mengenal pasti jantinanya, sebelum ditanam di kawasan lapang berhampiran pantai.

Crown Of Thorns adalah antara program utama Tioman Mega Dive yang pertama kali diadakan. Selain itu, peserta juga diberi cabaran untuk mencari 10 peti harta karun yang ditempatkan di sekitar perairan pulau ini.

Selepas berhempas pulas mencari tapak sulaiman dan memburu harta karun sepanjang dua hari, peserta berlibur di parti pantai di Salang dan Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort.

Timbalan Pengarah Jabatan Taman Laut, Abdul Rahim Gor Yamin, berkata Tioman Mega Dive diharap dapat mempromosikan usaha pemuliharaan terumbu karang di pulau itu yang kian diancam kepupusan.

“Walau pun projek seumpama ini dijalankan secara aktif dengan kerjasama syarikat korporat sejak 2002, kita perlu memperbanyak acara ini untuk menjaga tarikan semula jadi Tioman sebagai syurga penyelam di rantau ini,” katanya.

Bagi Pengarah Projeknya, Amin Jamadi, projek serampang itu dapat mempromosikan selam skuba dan pada masa sama menjaga aset semula jadi yang menjadi tarikan pelancong asing ke rantau ini.

“Ada yang berkata, penganjuran Mega Dive tidak akan mendapat sambutan berikutan bilangan penyelam yang banyak di satu-satu lokasi.

“Tetapi tujuan kita adalah mengumpulkan komuniti penyelam tempatan dan antarabangsa untuk bersama-sama menjalankan pelbagai projek pemuliharaan batu karang di pulau pelancongan ini,” katanya.

Sekali pergi pasti ingin lagi



ADA dua sebab utama penulis masih terkenangkan kunjungan ke Pulau Perhentian baru-baru ini. Pertamanya - hidangan larut malam; teh tarik dan roti pisang Raju dan kedua - keramahan orang pulau. Kedua-duanya hanya dapat dinikmati di Bubu Long Beach, Pulau Perhentian Kecil.

Mungkin ramai yang bertanya apa istimewanya roti pisang atau teh tarik mamak. Tetapi mengikut pengalaman, ia adalah antara hidangan paling sukar diperoleh apabila berkunjung ke mana-mana pulau di Semenanjung (kecuali di Langkawi).

Inilah yang menjadikan sesiapa pun yang pernah berkunjung, mahu kembali lagi ke sini. Pengurusan amat menitik beratkan keselesaan tetamu supaya dilayan seperti berada di rumah sendiri.

“Bagi kebanyakan orang, mereka bercuti untuk menghilangkan tekanan tetapi pada masa sama, mahu selesa dari segi makanan dan tempat tidur.

“Jika tetamu tidak selesa, mereka tidak mahu kembali dan ini hanya memberi persepsi negatif apabila mereka bercerita kepada rakan sekembalinya dari percutian,” kata Pengarah Urusannya, Ken Cheah.

Bubu Long Beach adalah satu-satunya penginapan deluxe di Pasir Panjang atau lebih popular sebagai Long Beach. Pantai ini amat popular di kalangan “backpacker” kerana persisiran pantainya yang panjang melewati beberapa chalet.

Sejak dibina pada 2001, Bubu Long Beach menawarkan 39 bilik, termasuk 21 bilik yang menghadap pesisiran pantai Laut China Selatan. Berbanding chalet yang banyak diusahakan di sepanjang pantai ini, Bubu adalah hotel tiga tingkat.

Turun dari bot, kami disambut mesra dengan minuman selamat datang. Selepas urusan daftar masuk, tanpa disuruh, wakil media menukar pakaian untuk aktiviti renang dan snorkeling.

Penat berendam, ada yang mendapatkan terapi urutan Thai di wakaf tepi pantai. Petang pula terisi dengan aktiviti bola tampar selepas perut penuh dengan hidangan minum petang.

Jika malas, boleh rehatkan diri dengan bersantai di bar terbuka sambil menyaksikan panorama matahari terbenam. Tiada apa yang dapat mengatasi perasaan tenang dengan hanya memandang kebesaran ciptaan Tuhan.

Kualiti F&B sangat diutamakan oleh pengurusan. Jus buah-buahan didatangkan daripada pembekal di Kuala Lumpur bagi menjaga kesegaran. Mahu merasa selera kampung, kedai di sepanjang pantai menyediakan menu pelbagai pilihan.

Malamnya, selepas perut sebu dengan makanan, kami dihiburkan dengan persembahan “makan api” oleh kaki tangan chalet.

Menariknya, sesiapa saja boleh mencuba bermain api sambil mengikut rentak muzik.

Ringkasnya, Bubu Long Beach memiliki semua formula terbaik penginapan terbaik di tepi pantai - makanan enak, layanan mesra dan paling mahal - persisiran pantai putih yang panjang.

>>UNTUK KE SINI

Untuk tiba di Jeti Kuala Besut, perjalanan dengan kenderaan mengambil masa selama 40 minit dari bandar Kota Bharu, manakala sejam 15 minit dari Kuala Terengganu.

> Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia mengadakan penerbangan setiap hari ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu. Bubu Long Beach menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke resort berkenaan daripada lapangan terbang.


LOKASI

Bubu Long Beach

Pulau Perhentian Kecil

Terengganu.

Tel: 03-2142 6688

Faks: 03-21410080

www.buburesort.com.my

Nikmat main air panas


MEREBUS telur juga boleh membantu merehatkan minda. Di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungkai, Perak, aktiviti itu sangat popular di kalangan pengunjungnya hingga jualan telur pernah mencecah 50,000 biji dalam tempoh tiga hari.

Telur itu dimasak di kawasan khas di mana suhu air berada ada 102 darjah celcius. Ia hanya memerlukan kira-kira lima minit untuk masak.

Merebus telur antara aktiviti mesti cuba jika berkunjung ke taman rekreasi yang dibangunkan dengan kos lebih RM6 juta oleh Felda Plantation (FPRSB).

Sejak dibuka kembali pada akhir 2003, ia menarik kunjungan ratusan ribu pelancong dalam dan luar negara terutama dari Singapura.

Kolam air panas itu kini dibangunkan sebagai taman rekreasi bertaraf dunia. Dikelilingi pemandangan bukit bukau, ia memanfaatkan sepenuhnya sumber alam iaitu aliran air panas dari perut bumi dan air sejuk dari banjaran gunung berdekatan.

Menjejakkan kaki ke sini, kami dibawa meneroka aliran air panas dengan melalui laluan pejalan kaki. Di beberapa wakaf yang dibina betul-betul di aliran air panas ini, suasana sauna semula jadi mula dirasai.

Sambil itu, mata tidak lepas memandang tanaman herba dan pokok buah-buahan tempatan yang dilabelkan seperti tongkat ali, kedondong, lengkuas dan dukung anak. Di antaranya, raja buah iaitu durian turut ditanam selain kebun kelapa sawit asal yang masih dikekalkan.

Kolam air panas utama dibangunkan sebagai lembah sungai dikelilingi taman dan pancuran air buatan manusia. Selain kolam utama, ada beberapa kolam khusus untuk rawatan terapeutik. Suhu dikawal antara 30 hingga 43 darjah celcius.

Ada beberapa kolam dilengkapi papan tanda memberi amaran suhu panas antara 100 dan 102 darjah celcius. Pengunjung perlu berhati-hati kerana ia adalah punca air panas. Untuk mereka yang mahukan privasi, boleh menggunakan lima jakuzi panas dengan kadar sewa antara RM25 dan RM50 sejam.

Perkhidmatan mengurut disediakan pada hujung minggu dan cuti umum dengan bayaran antara RM20 dan RM45.

Tarikan terkini TRAP adalah kolam air mata gunung yang dialirkan dari Banjaran Titiwangsa. Air gunung yang dingin itu dialirkan terus ke kolam sejauh dua kilometer dari banjaran berkenaan sebelum melalui proses penapisan.

Ia mempunyai kedalaman sehingga 1.3 meter itu mempunyai lantai landai seolah-olah bermain dengan ombak laut, menjanjikan keseronokan kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

Pondok rehat pengunjung yang dilengkapi tempat duduk dan restoran ala gua batu memberi kemudahan kepada pengunjung bersantai, selain menara peninjau bagi meninjau keselamatan pengunjung yang bermandi manda.

Selain itu, bagi mereka yang suka menjalankan aktiviti perkhemahan, pihak FPRSB juga menyediakan pakej perkhemahan, ekspedisi sungai dan jungle trekking.

Pengunjung juga boleh mengunjungi perkampungan Orang Asli di Kampung Tesong untuk mengenali budaya dan cara hidup mereka.

INFO

Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah

Trolak Country Resort, 35600 Sungkai, Perak

Tel: 05-438 8687

Faks: 05-438 8760

Plantation Resorts Sdn Bhd

Tel: 03-2697 9772/ Faks: 03-2693 5104


WAKTU OPERASI

Bermula jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari. Bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM 1.50 untuk kanak-kanak dari Isnin hingga Jumaat. Hujung minggu RM5 (dewasa) dan RM1.50 (kanak-kanak).

Redang idaman pelancong



HANYA yang istimewa - layanan kelas satu, penginapan mewah dan pengalaman luar biasa disediakan tuan rumah, Berjaya Beach Resort kepada wakil media yang berkunjung ke pulau kecil itu sempena dengan International Clean-up Day 2007.

Dari Subang, kami diterbangkan dengan pesawat Berjaya Air ke Lapangan Terbang Redang. Tambang pergi-balik saja mencecah RM500. Perjalanan hanya mengambil masa sejam berbanding 10 jam jika menaiki bas.

Melihat penginapan diberikan saja sudah mampu membuatkan ramai tersenyum lebar. Kami diberikan bilik jenis double sea view - lengkap dengan katil bersaiz 'queen' dan perkhidmatan 'room service'.

Dari balkoni bilik, keindahan Berjaya Redang yang kelihatan seolah-oleh perkampungan Melayu di kawasan teluk yang indah. Deretan 'cabanna' menghiasi persisiran pantai putihnya yang panjang.

Pulau Redang asalnya perkampungan nelayan tetapi kini berkembang pesat menjadi destinasi pelancongan antarabangsa. Terumbu karangnya menjadi kediaman kepada lebih 55 spesies karangan laut dan lebih 100 spesies ikan.

Redang terdiri daripada Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil dan Pulau Lima.

Bagaimanapun, sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk melindungi alam sekitar, pembinaan pusat peranginan dihadkan. Berbanding dengan Perhentian yang menjadi tumpuan 'backpackers', pulau ini mempunyai kemudahan penginapan selesa.

Perairan dekat pantainya menjadi kawasan kedua diwartakan sebagai Taman Laut selepas Pulau Payar di Kedah. Pulau ini juga antara tapak selam paling popular terutama di kawasan karamnya kapal Perang Dunia Kedua - HMS Prince of Wales dan the H MS Repulse.

Setiap tahun, kira-kira 100,000 pengunjung melawat Redang, menjadikannya antara pulau paling popular selepas Langkawi dan Tioman.

Kapten Zainal menolak cadangan rakan media untuk snorkeling di kawasan taman laut yang terkenal dengan kisah dua ikan kerapu penungggu itu.

“Terlampau ramai orang hujung minggu. Kebanyakan Mat Salleh dari kapal Star Cruise pun tidak mahu snorkeling sebab tak tahan ramai orang,” katanya.

Kerapu besar itu, katanya, bukanlah penunggu seperti cerita kebanyakan orang. Tetapi, ia sudah lama mendiami dasar laut di Tanjung Pinang.

Sebaliknya, kami dibawa ke Pulau Paku untuk aktiviti snorkeling pertama sejak menjejakkan kaki ke pulau ini. Keadaan laut yang bergelombang sedikit pun tidak menggugat rasa teruja untuk turun ke air.

Sejam di sini Kapten Zainal memanggil kami naik: “Kita ke Teluk Mat Delah pula,” katanya. Di sini, kami memberi makan ikan sebelum turun semula ke laut, tetapi hasilnya lumayan - pelbagai jenis ikan bewarna-warni seolah-oleh menyambut kedatangan kami.

Pagi berikutnya, awal-awal lagi kami dikejutkan dengan aktiviti melihat penyu. Saya yang mulanya agak kurang yakin dapat melihat hidupan itu, begitu teruja apabila melihat penyu agar pertama kali menerusi panel kaca di lantai bot persiaran kami.

“Mak oi, besarnya!” Spontan saya menjerit. Menurut Kapten, spesies itu lebih mudah kelihatan apabila cuaca panas terik. Beberapa ketika ia muncul di permukaan air sebelum kembali ke dasar.

Seingat saya, ini kali pertama melihat penyu sebegini jelas sejak menyaksikannya secara dekat ketika belajar selam skuba di Tioman, awal tahun ini.

Bezanya, penyu di sini bukan saja besar, malah lebih senang dilihat berbanding di Tioman, ia perlu menyelam atau berenang.

“Kalau pelancong Itali dah lama dia terjun berenang bersama penyu,” kata Kapten. Kalau ikutkan hati, siapa yang tidak mahu berenang bersama penyu, tetapi mengenangkan dasarnya yang jernih tapi dalam, membuatkan saya berfikir dua kali.

Penyu tadi bukanlah satu-satunya spesies yang kami lihat sepanjang kira-kita 45 minit berada di sini. Dua penyu agar dan tiga leatherback, spesies yang dikhuatiri akan pupus terus. Ada yang sedang mencari makanan di celah karang, selebihnya mungkin sedang mencari pasangan.

Mungkin sudah tuah kami, ketika kunjungan, ia adalah penghujung penyu mengawan. Mulai Mei, hidupan yang diancam kepupusan ini akan berlegar di sekitar kawasan pantai untuk mencari pasangan.

Pulang dari menonton penyu, kami menghabiskan dua jam terakhir di sini dengan berenang dan snorkeling di kawasan pantai. Ini pengalaman pertama hati terasa begitu berat untuk pulang.

Lubuk Bijih Destinasi Pelancong



KISAHNYA bermula dengan keghairahan seorang pengembara Scotland sanggup mengelilingi sehingga hampir separuh dunia dari tanah kelahirannya ke Australia demi mengejar impian bergelar jutawan saudagar emas.

Hampa dengan janji palsu di benua itu membawa Louise James Fraser ke Tanah Melayu pada 1890-an. Beliau yang menetap di Tras, Pahang mendengar cerita penduduk kampung kewujudan bijih timah di kawasan pergunungan di sempadan Selangor dan Pahang.

Bertitik-tolak dari situ, bekas akauntan itu membangunkan perlombongan di kaki bukit berkenaan. Fraser menjadi orang tengah dengan membeli bijih timah dari pelombong Melayu dan Cina di sekitar Tras dan Lembah Sempam sebelum mengangkut menggunakan keldai ke Kuala Kubu.

Fraser juga dikatakan merentas laluan denai kuda ke puncak bukit yang dijadikan pusat perdagangan. Penamat kisah saudagar Scottish ini tidak pernah diketahui, beliau hilang tiba-tiba pada awal 1900.




Hanya sedikit fakta diketahui bagi membuktikan kewujudan Fraser.




Bukit ini ditemui semula Biskop Singapura, Ferguson-Davie pada 1917 yang asalnya cuba mencari Fraser. Selepas itu, ia mula popular sebagai pusat peranginan untuk rakyat Inggeris yang sukar pulang ke England akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Tanpa fakta ini mungkin membuatkan ramai yang tidak percaya bukit ini mempunyai sejarah yang panjang. Hakikatnya, Fraser Hill suatu ketika dulu pernah menjadi kawasan perumahan elit warga Inggeris yang tidak tahan dengan iklim tropika Tanah Melayu.

Kesempatan mengunjungi Bukit Fraser atas jemputan Tourism Pahang, baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk melihat sendiri tinggalan penjajah British di pusat peranginan yang pernah dijulang sebagai Little England.

Jalannya masih sama - bengkang-bengkok dan penuh selekoh membuatkan penulis sukar membayangkan kuda dan keldai dengan muatan bijih dikerah melalui laluan ini ke puncak pada ketinggian 1,524 dari paras laut.

Seperti binaan kota Rom silam, perkampungan desa Inggeris dibina pada puncak tujuh bukit di banjaran pergunungan ini. Bangunan pertama didirikan di bandar tanah tinggi ini mengambil nama kubu kecil di bahagian Barat yang dibina Inggeris ketika Perang Dunia Pertama,

`Polygon-Magador’ dan `Ledegham’ (sayang sekali kedua-duanya diruntuhkan untuk pembinaan jalan ke Silverpark Holiday Apartments dan Hollebekke (bangunan bertentangan dengan pusat bandar). Di antaranya, terletak menara jam, mercu tanda Bukit Fraser yang paling banyak diabadikan menerusi fotografi.

Kawasan lombong bijih pertama yang diteroka oleh orang Melayu pertama atas lesen British, Abu Suradi, pada lewat abad ke-19, kini menjadi padang golf sembilan lubang. Padang golf yang masih digunakan sehingga kini adalah pertama dibina di pergunungan di negara ini. Ia juga padang golf kedua di Tanah Melayu selepas Taiping.

Selain menjadi kawasan lapang paling luas di pusat bandar, padang golf yang direka bentuk Frank Hemmant pada 1925 ini dikelilingi pokok pain dan paku pakis. Ada antara pokok pain di sini mencecah usia 90 tahun.

Di sekelilingnya, banglo lama tersergam indah tetapi kebanyakan mengekalkan binaan asal lengkap dengan pendiangan. Rumah Bishop yang dibina atas tanah hadiah British kepada Biskop Ferguson-Davie kini tidak berpenghuni.

Dari rumahnya, Biskop Singapura ini membina denai kuda untuk banglo lain seperti Muar Cottage dan Banglo Kuantan dan ke pusat bandar yang kini dinamakan Denai Bishop.

Setiap denai yang panjangnya antara setengah dan empat kilometer mempunyai sejarah sendiri. Dapat saya bayangkan, isteri pegawai atasan Inggeris meredah denai dengan pedati untuk berlibur di pusat bandar.

Denai Maxwell yang dibuka pada 1919 dibuka buruh yang menetap di Labour’s Pine (sekarang tapak Fraser’s Pine Resort). Pelombong ini merentas laluan itu untuk ke Banglo Whittington (kini Rumah Guthrie) untuk mendengar berita perang menerusi satu-satunya radio milik pelombong kulit putih.

Banglo Kindersley (sekarang Banglo Raub) yang pernah digunakan sebagai tempat perjumpaan penganut Kristian membuktikan komuniti Inggeris yang besar pernah menghuni Bukit Fraser.

Selain itu, denai lain yang ada di sini termasuk Denai Abu Suradi, Denai Rompin, Denai Mager, Denai Pokok Pine dan Denai Hemmant. Memadai dengan hanya berjalan di kaki siar jalan berturap yang ada sekarang, penulis dapat melihat pemandangan indah Lembah Teranum dan Sempam.

Di sini, nasib baik tidak diperlukan untuk melihat siamang (ungka besar), konkang, burung hantu rimba dan babi hutan yang kadangkala melintas di denai ketika mencari makanan.

Mungkin kerana hutannya yang masih terjaga, ia menarik lebih 260 spesies burung yang menghuni belantara gunung ini.

Selain melihat flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain, rombongan kami mencuba aktiviti memanah dan menunggang kuda di “The Paddock”. Sayangnya, kami tidak berkesempatan melihat sukan “woodball”, sukan musim panas yang amat popular di kalangan aristokrat Inggeris.

Kami juga singgah di tasik buatan manusia, Allan's Water dan meninjau burung sehingga ke Air Terjun Jeriau yang terletak enam kilometer dari pusat bandar.

Menghabiskan petang terakhir di sini, saya lebih teruja dengan sejarah dan landskap semula jadi yang melatari Bukit Fraser. Bermula sebagai tapak lombong, kemudian stesen bukit, siapa sangka ia bertukar wajah sebagai pusat peranginan tanah tinggi terulung di negara ini.

Dalam perjalanan pulang, fikiran masih kusut dengan pelbagai teori ke mana Fraser menghilangkan diri. Mungkinkah lari kerana hutang, disorok bunian, atau sesat ketika mencari lubuk emas di hutan belantara Titiwangsa? Tetapi, satu perkara saya perlu akui, nyaman udaranya sudah mampu menggamit saya untuk kembali ke sini.

Pulau Banding Bagai Syurga


JIKA anda inginkan suasana damai, jauh dari hiruk pikuk yang menganggu ketenteraman, Pulau Banding adalah destinasi yang tidak boleh dipinggirkan, khususnya bagi pencinta alam semula jadi.

Pulau Banding yang terletak di utara Perak bersama 20 pulau kecil di Tasik Banding dan menjadi pintu masuk ke Hutan Diraja Belum, satu daripada hutan simpan yang masih kekal terpelihara.

Peluang penulis menjadi penghuni selama dua malam di Pulau Banding dalam program yang dianjurkan Syarikat Emkay memberikan peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan anugerah ciptaan Ilahi.




Bunyi kicauan burung dan nyanyian unggas rimba cukup memberi ketenangan berbanding seharian suntuk di kota yang bingit dengan deruan enjin kenderaan.




Pulau Banding adalah anugerah untuk negara ini dan jika diberi promosi secara agresif, tidak mustahil kawasan ini boleh menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang meminati konsep pelancongan-eko.

Seramai 30 wakil media massa dibawa dari ibu kota dalam perjalanan kira-kira tujuh jam ke Pulau Banding. Kami singgah di Rumah Rehat Gerik yang menjadi lokasi penginapan sepanjang program.

Ekspedisi bermula dengan menaiki bot di Jeti Awam. Penulis bersama rakan wartawan dibawa 'jalan-jalan' di sekitar Pulau Banding kira-kira 40 minit bagi melihat alam semula jadi yang masih kekal dara.

Hari kedua, seawal jam 8 pagi, kami menjelajah Hutan Diraja Belum yang kaya dengan flora dan fauna rimba selain menjanjikan pemandangan yang memukau.

Antara tarikan utama ialah habitat gajah liar, harimau belang dan bunga terbesar dunia iaitu bunga pakma atau lebih popular sebagai Rafflesia.

Destinasi pertama peserta ke Air Terjun Sungai Ruak menaiki bot kira-kira 40 minit. Air terjun itu memang indah kerana belum diteroka. Melihat air yang jernih, kebanyakan peserta tidak menunggu lama untuk berendam dan menyejukkan badan.

Sebelum masuk ke Hutan Diraja Belum, pasukan tentera memeriksa dokumen peribadi kami kerana memerlukan permit masuk ke hutan yang penuh dengan 1001 khazanah alam semula jadi.

Ekspedisi seterusnya menaiki bot ke Kuala Sungai Papan. Sebaik tiba, pemandu pelancong kami, Pak Mokhtar, memberi teropong bagi membolehkan kami melihat kelibat burung di dahan pokok, antaranya enggang.

Kami terkejut dengan penemuan beberapa kesan besar tapak kaki jenut, iaitu kawasan pasir berbukit yang ditarah hidupan liar untuk mendapatkan bekalan garam galian dan mineral semula jadi.

Jenut berlopak, kering atau berair di beberapa lokasi di Hutan Diraja Belum itu menjadi tumpuan pelbagai spesies hidupan liar seperti gajah, rusa, kijang dan seladang.

Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Sungai Kejar yang mengambil masa 50 minit menggunakan bot untuk menikmati makan tengah hari di kawasan perkhemahan.

Dalam perjalanan pulang, hujan lebat seolah-olah sedih apabila kami akan meninggalkan hutan itu. Ketika masing-masing dalam kesejukan, kami terkejut mendengar jeritan Orang Asli di atas rakit yang mahu menumpang bot kami untuk pulang ke kampung mereka.

Kami menghantar Orang Asli ke Kampung Sungai Kejar kerana rakit mereka tidak dapat digunakan disebabkan hujan lebat.

Difahamkan lebih 8,000 Orang Asli menetap di sekitar Hutan Diraja Belum, terdiri daripada suku kaum Semai dan Jahai, yang membina rumah di pulau dan sekitar tasik.

Masa berlalu dirasakan begitu pantas, dalam keseronokan menikmati keindahan hutan yang masih dara itu dan tercari-cari untuk melihat bunga terbesar di dunia, Rafflesia, kami terpaksa meninggalkan tempat itu kerana kesuntukan masa dan cuaca.

Namun, peluang meneroka sebahagian kawasan Hutan Diraja Belum peluang yang sukar dilupakan dan jika dimajukan untuk industri pelacongan, ia bakal menjadi antara kawasan tumpuan pelancong seluruh dunia.





INFO PULAU BANDING



-Kenali Pulau Banding



Pulau Banding terletak di Tasik Temenggor, Gerik, Perak, adalah tasik buatan manusia terbesar berukuran 70 kilometer (km) panjang dan 18,000 hektar lebar.

Ia mempunyai 20 pulau buatan yang pada asalnya puncak bukit dan terletak kira-kira 50 km dari Bandar Grik, 80 km dari Pekan Jeli, 183 km dari Ipoh dan 440 km dari Kuala Lumpur.

Terletak 2,000 meter dari aras laut, mengandungi empat empangan terdiri daripada Empangan Temenggor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh.

Pulau Banding satu-satunya cara untuk masuk ke Hutan Diraja Belum melalui bot.









-Bagaimana ke sana?



Anda perlu ke Hulu Perak sama ada melalui jalan raya (bas dan teksi), kereta api atau udara.

Jika melalui jalan raya, anda perlu menyusur Lebuh Raya Selatan-Utara (jika dari Kuala Lumpur dan Selatan) dan melalui Jalan Raya Timur-Barat jika dari Kelantan atau pekan Baling, Kedah dan Pengkalan Hulu jika dari Utara.

Pengguna kereta api pula destinasi stesen terakhir di Kuala Kangsar dan mengambil teksi atau bas ke Grik dan seterusnya ke Pulau Banding.

Pelancong mempunyai pilihan sama ada untuk memilih mendirikan khemah ketika bermalam di tepi tasik atau menginap di Banding Island Resort (BIR) yang dibina Kumpulan Fima Berhad.

Dalam masa terdekat, Kumpulan Syarikat Emkay akan mengubah suai dan menaik taraf kemudahan BIR dan dijangka beroperasi awal tahun depan.





-10 perkara jangan lepaskan peluang ketika di Pulau Banding.



1) Rafflesia - Pastikan anda menyaksikan dan merakamkan gambar bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia iaitu spesies bunga terbesar didunia.



2) Penempatan Orang Asli - Lebih 8,000 Orang Asli menetap di sekitar Lembah Belum. Ia merangkumi suku kaum Semai dan Jahai, yang membina rumah di pulau dan sekitar tasik yang menambahkan lagi keunikan kawasan berkenaan. Antara kampung penempatan Orang Asli adalah Kampung Pulau Chueh, Chiong, Pulau Tujuh, Terhong, Kampung Tebang dan Kampung Sungai Kejar.



3) Jenut (sira) - Pengunjung berpeluang melihat jenut iaitu kawasan garam nutrien yang sering dikunjungi oleh hidupan liar. Pengunjung boleh melihat kesan tapak kaki dan najis hidupan liar seperti kijang, tapir, gajah, rusa dan seladang.



4) Air terjun - Kedinginan air terjun pasti menggamit pengalaman cukup indah ketika bercuti di tengah hutan.



5) Aktiviti memerhati burung - Walaupun terpaksa menunggu beberapa waktu, pengalaman cukup menakjubkan bila berpeluang menyaksikan kelibat burung di dahan pokok. Antara burung yang kerap kelihatan termasuklah burung enggang.



6) Memancing - Dikelilingi tasik dan sungai, Lembah Belum menjanjikan 'syurga' dan kepuasan buat kaki pancing. Jenis ikan yang terkenal di situ ialah toman, kelah dan talapia.



7) Spesies flora - Terdapat pelbagai spesies flora seperti orkid liar, palma, ara, gaharu, buluh dan rotan.



8) Haiwan liar - Berkhemah di tengah hutan sambil memerhatikan haiwan liar di atas menara peninjau di waktu malam. Jika bertuah mungkin anda berpeluang menyaksikan kelibat harimau belang, badak, rusa, seladang dan beruang.



9) Pokok hutan - Pelbagai pokok perubatan tradisional dan akar kayu tumbuh melata di hutan Lembah Belum. Antara pokok hutan boleh ditemui ialah tongkat ali, kacip fatimah dan jerai besar yang mempunyai penawar mujarab dalam perubatan tradisional.



10) Tasik- Tasik buatan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Grik dengan ketinggian sehingga 2,000 meter dari aras laut mengandungi 20 pulau buatan yang asalnya adalah puncak bukit.